BBC MENYERTAI KEMBARA BERMOTOSIKAL BAGI TABUNG KEMANUSIAAN

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei (Petikan Media Permata)- Lebih 50 peserta terdiri daripada ahli Kelab Motosikal Bersatu, kumpulan Pacuan Empat Roda dan sukarelawan kumpulan KatakIjau menyertai program kembara amal bermotosikal bagi mengutip dana untuk tabung kemanusiaan banjir Australia dan gempa bumi New Zealand serta gempa bumi dan tsunami Jepun. Kembara itu dirasmikan oleh pengerusi jawatankuasa Belia Brunei Prihatin, Haji Mohd Noor Haji Hamid hari ini.  Program kembara amal bermotosikal ini bermula di Taman Permainan Jerudong Park dan melewati daerah Tutong, Sungai Liang, Pekan Seria dan Menara Cendera Kenangan daerah Belait.  Di setiap destinasi persinggahan, peserta kembara turut berinteraksi dengan belia-belia tempatan dan ketibaan peserta di daerah Tutong disambut oleh wakil dari Pejabat Dearah Tutong dan Majlis Belia Daerah Tutong di Kompleks Sukan Tutong sebelum meneruskan perjalanan mereka ke Sungai Liang dan berhenti seketika di pusat membeli-belah Liang Toon. Peserta kemudian bergerak menuju ke daerah Belait dan singgah di Pekan Seria dan ketika berada di daerah ini, kumpulan disambut oleh Gabungan Ibu Bapa Kampong Pandan.  Peserta menamatkan kembara amal bermotosikal ke destinasi terakhir iaitu Tebingan Sungai Belait.
Kembara amal ini dianjurkan oleh kelab motosikal BERSATU dengan kerjasama kumpulan bertindak bantuan kemanusiaan KatakIjau di bawah urustadbir GreenFrog Management Services dan juga merupakan projek belia Brunei Prihatin, Jabatan Belia dan Sukan.
Ketua Rombongan Program Kembara Amal, Awang Rozan bin Haji Kadir(Kanan) menyampaikan cendera kenangan kepada wakil Belia Daerah Tutong.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan